Kejayaan usahawan wanita yang mendapat perhatian sering dilaung-laungkan dan menjadi satu kebanggaan. Tetapi apakah perkara pertama yang terlintas di fikiran apabila kita mendengar atau membaca: “Perkasa Usahawan Wanita dalam Dunia Perniagaan”?
Adakah anda terfikir mengenai kekuatan seorang wanita? Mungkin perkataan yang di cari-cari ialah kecekalan wanita? Mungkin juga ia bersangkut-paut dengan keberanian, kesungguhan, dan kesetiaan.
Atau mungkin kita mempersoalkan mengenai kesamarataan wanita dalam menerima peluang di pentas dunia yang penuh dengan pergolakan dan cabaran yang berbeza-beza.
Betul ke, wanita pada zaman moden ini telah pun mencapai hak sama rata dengan kaum Adam dalam dunia perniagaan?
Tahukah anda mengenai peningkatan perlantikan Ketua Pegawai Eksekutif wanita yang berleluasa di kalangan organisasi tersohor seperti IBM dan General Motors?
Malah lebih ramai wanita diberi penghormatan ini dalam perniagaan Fortune 500 sejak beberapa tahun yang lalu berbanding dengan peluang yang diberi kepada kaum Hawa dalam jangkamasa 63 tahun sebelum ini.
Tetapi, apabila dilihat dengan teliti…peningkatan yang di war-warkan hanya merangkumi 6.4% perniagaan yang hebat-hebat ini. Mana yang lain?
Paling merungsingkan, ramai pengusaha wanita terpaksa menyediakan co-founder lelaki “halimunan” sebagai bukti kredibiliti untuk mendapat peluang menyuarakan idea mereka kepada yang berkepentingan.
Ini menunjukkan, walaupun hak wanita sering dilaung-laungkan dan ketidaksamaan wanita di ruang keusahawanan masih berleluasa, tiada apa-apa tindakan yang berkekalan telah di ambil atau di laksanakan.
Di mana sebenarnya berlaku pemerkasaan? Di bibir dan di podium sahaja?
Untuk coretan kali ini, kami memilih satu aspek dalam dunia perniagaan yang sering kali disisih oleh ramai yang mengambil keputusan untuk berniaga, khususnya kaum wanita.
Namun, aspek ini penting untuk diketahui dan diamalkan kerana ianya akan memberikan impak yang positif dalam menjana keuntungan ketika berniaga.
Jadi, apakah aspek itu?
“Macam mana nak buat duit ni?”
Asyik syiok sendiri, ramai yang terkandas dengan produk dan servis yang sering merupakan kepakaran si peniaga, tetapi tanpa aspek utama ini dalam perniagaan, kebanyakkannya akan kecundang.
Antara kajian yang di jalankan di kalangan usahawan, di dapati, usahawan lelaki menjana keuntungan yang lebih dari usahawan wanita kerana mereka mengamalkan pembelajaran berterusan.
Betul ke?
Data banyak menunjukkan populasi pelajar wanita melebihi pelajar lelaki di Menara Gading. Tetapi, apabila di bentang dengan peluang keusahawanan, kaum wanita lebih senang berjual-beli dari memperkasakan diri dengan ilmu, berbanding dengan usahawan lelaki. Bila masa pula kaum Hawa berhenti belajar dan kaum Adam pula yang mengatasi?
Jadi, untuk perkuatkan usahawan wanita di Malaysia, sudah semestinya menimba ilmu itu suatu kewajipan. Hujahan ini bukan paksaan, tapi satu jemputan dan tidak bermaksud kita harus melangkah masuk ke institusi pengajian tinggi untuk menimba ilmu, keluar-masuk kelas tiap-tiap hari dan habiskan wang dan masa untuk berguru sahaja!
Jemputan kami adalah untuk usahawanita mengambil masa dan buat perancangan strategik untuk terus-menerus mencari guru, mentor, coach dan rakan seperjuangan untuk sentiasa meningkatkan pengetahuan untuk tidak menjadi ketinggalan.
Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, perkasa bermaksud hebat dan berani. Bukankah ini suatu isu yang diingini oleh usahawan wanita untuk sekian lama? Ilmu membolehkan wanita dipandang tinggi oleh masyarakat, setaraf dengan rakan-rakan berniaga kaum lelaki — di samping menjana keuntungan yang banyak.
Sekarang, mari kita berfikir sejenak. Apakah sebab kaum wanita menceburi dunia perniagaan? Adakah untuk mengaut keuntungan semata-mata? Atau, untuk mencari pendapatan tambahan untuk keluarga? Adakah untuk membebaskan diri dari belenggu kemiskinan? Atau mungkin untuk membuktikan kebolehan diri untuk berdikari?
Tahukah anda bahawa kebiasaannya, usahawan lelaki berjiwa kompetitif berbanding dengan usahawan wanita? Tetapi, tahukah anda di Kelantan, usahawanita lah yang memonopoli ruang perniagaan?
Jadi, fahamilah pencetus niat kita berniaga. Anda perlua jelas dengan NIAT berniaga yang terpahat di hati?
Tanyakan diri, KENAPA dan UNTUK APA?
Formula yang mudah di fahami ialah:
Modal (duit) + Latihan Perniagaan (Business Training) = Impak positif dalam menjana keuntungan.
Antara kata-kata mutiara yang ditutur oleh usahawan wanita Malaysia yang berjaya, Vivy Yusof: ilmu pengetahuan adalah kunci kejayaan.
Malah, menimba ilmu itu tidak berhenti apabila zaman persekolahan tamat. Sebaik-baiknya, ilmu itu kita cari hingga ke hembusan terakhir.
Maka, aspek utama yang mempengaruhi penjanaan keuntungan ialah ilmu pengetahuan.
Maka pembelajaran berterusan seharusnya menjadi nadi kepada usahawan, yakni latihan perniagaan atau lebih dikenali iaitu business training perlu dilangsungkan dengan kerap untuk pembangunan diri dan perniagaan.
Melalui business training, usahawan wanita dapat mempelajari cara-cara untuk mengatur langkah, mengurus risiko dan menimbang-kira kewangan sebaik mungkin ketika menjalankan perniagaan mereka.
Bukan itu sahaja, peluang untuk dilatih dan berkenalan dengan mereka yang sudah melalui pelbagai liku cabaran dalam dunia yang mencabar ini dapat membantu jika berada dalam kebuntuan.
It’s now or never.
Nota: Pihak Kowena sering menjalankan kursus keusahawanan dan pembangunan diri, yang diikuti dengan proses mentoring and coaching.